Mengenal Pakar Kewangan Palsu

Rancang Sendiri atau Dapatkan Bantuan?

Sekiranya anda sudah menyedari kepentingan merancang kewangan dan ingin maju ke hadapan dengan menjadikan perancangan kewangan sebahagian daripada gaya hidup anda, perkara pertama yang perlu anda buat ialah membuat pilihan – Adakah anda ingin melakukannya sendiri? Atau adakah anda ingin mendapatkan bantuan daripada perancang kewangan profesional?

Siapa yang Boleh Membantu?

Di Malaysia, golongan profesional yang boleh membantu anda merancang kewangan adalah perancang kewangan berlesen. Perancang kewangan ini menawarkan perkhidmatan mereka dengan memberikan nasihat yang disediakan khusus untuk memenuhi matlamat kewangan anda.

Jika anda ingin menggunakan perkhidmatan perancang kewangan, pastikan beliau mempunyai lesen sebagai penasihat kewangan yang sah. Selain itu, beliau mestilah seorang yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam industri ini.

Walau apapun pilihan anda, anda perlu berhati-hati dengan maklumat yang diberikan, lebih-lebih lagi apabila ia diberikan oleh perancang kewangan yang tidak memiliki kualiti yang sepatutnya. Oleh itu, bagi memastikan maklumat dan nasihat itu sahih dan bukan taktik jualan semata-mata, anda perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang betul

Merancang Kewangan Sendiri

Jika anda seorang yang gemar membuat kaji selidik dan pengiraan, anda boleh memilih untuk merancang kewangan sendiri. Bagaimana caranya?

  • Membaca buku
  • Menghadiri kursus

Terdapat banyak buku dan kursus yang menawarkan panduan langkah demi langkah dalam merancang kewangan. Walaubagaimanapun, jika anda masih baru dalam bidang ini, anda perlu berhati-hati dengan apa yang dipelajari daripada buku-buku dan kursus tersebut kerana tidak semua maklumat yang diperolehi itu adalah tepat.

Sebelum menggunakan ilmu yang baru dipelajari, pastikan anda melakukan perkara-perkara berikut:

Periksa latar belakang pembekal maklumat
  Dapatkan maklumat yang mencukupi berkenaan pengalaman profesional, kelayakan pendidikan dan juga rekod prestasinya. Anda sepatutnya boleh memperolehi maklumat mengenai perkara sebegini di bahagian pengenalan sesuatu buku atau kursus. Jika maklumat yang ditawarkan nampak kabur atau terhad, anda perlu berwaspada dalam menerima nasihat-nasihat perancangan kewangan yang diberikan.
     
Pastikan kesahihan maklumat yang diberikan
  Baca ulasan atau pandangan yang dibuat oleh individu atau badan yang diiktirafkan. Namun, kaedah ini juga masih tidak mencukupi kerana kadangkala liputan media mengenai sesuatu ulasan tersebut lebih kepada strategi pengiklanan daripada memberikan maklumat yang bermutu. Oleh itu, tidak kira dari mana anda memperolehi maklumat untuk merancang kewangan, anda perlu ingat bahawa tidak semua nasihat atau cadangan yang diberikan itu mengambilkira kepentingan anda atau perancangan kewangan yang di syorkan itu sesuai dengan anda.
     
Buat penyelidikan sendiri mengenai pendekatan-pendekatan yang ada
  Setelah menjalankan penyelidikan bagi kedua-dua pendekatan, anda akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk membuat keputusan tentang pendekatan manakah yang paling sesuai dengan tahap risiko dan ganjaran anda yang unik itu.