Adakah Kedudukan Kewangan Anda Kukuh?

Ramai orang yang berasa kurang selesa apabila bercakap mengenai duit. Bagaimana dengan anda? Adakah anda berasa kurang senang dan risau apabila isu duit dibicarakan? Jika ya, ia mungkin kerana anda tidak tahu mengenai bagaimana menguruskan wang dan cara mencapai matlamat kewangan anda.

Sebenarnya, untuk menjadi orang yang bijak menguruskan kewangan, anda perlulah menetapkan matlamat kewangan yang S.M.A.R.T. (Khusus, Boleh Diukur, Boleh Dicapai, Realistik, Ada Tempoh Masa).

 

Kedudukan Kewangan Anda yang Lengkap

Untuk mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, anda perlu bertanggungjawab ke atas masa depan anda dan membina disiplin dan komitmen yang diperlukan dalam membuat perancangan untuk setiap peringkat umur. Kebanyakan orang hanya membuat perancangan untuk perkara-perkara yang sudah boleh dijangka seperti berkahwin, memiliki rumah dan kereta, serta membiayai pendidikan anak-anak mereka. Malangnya, ramai gagal menyedari bahawa mereka juga perlu bertanggungjawab untuk membuat perancangan bagi persaraan, penjagaan perubatan jangka panjang dan perancangan pewarisan mereka sendiri.

Jika anda mula berfikir dari sekarang mengenai bagaimana untuk menangani hal-hal ini pada masa akan datang, ia akan memastikan kedudukan kewangan anda kekal kukuh sepanjang hidup. Selaras dengan itu, pastikan berapa banyak sebenarnya wang yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda. Dalam merancang matlamat anda, pastikan ia KHUSUS (Apa, Kenapa dan Bagaimana).

Jangan lupa bahawa anda perlu membuat perancangan secara teliti mengenai berapa banyak wang yang anda mahu! Bak kata pepatah Inggeris, “jika anda tidak boleh mengukurnya, anda tidak boleh mengurusnya.” Anda perlu menetapkan matlamat kewangan supaya anda menjadi lebih berdisiplin, disamping anda akan berasa puas apabila mencapai matlamat tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan BOLEH DIUKUR dalam proses menetapkan matlamat anda. Anda boleh menetapkan pelbagai matlamat, contohnya membiayai persaraan dan pendidikan anak-anak anda.

Selain daripada mempunyai idea yang jelas mengenai perancangan kewangan yang kukuh, anda haruslah sedar tentang kedudukan kewangan anda pada setiap masa. Ini boleh dilakukan dengan memeriksa secara berterusan setiap komponen kewangan anda seperti pinjaman yang perlu dibayar, baki kad kredit, serta pendapatan dan perbelanjaan bulanan anda. Walaupun anda tidak perlu melakukan semua ini setiap hari, anda perlu membuatnya kerana ia akan memberikan gambaran yang lebih luas mengenai kedudukan kewangan anda. Maka, ketahui gambaran sebenar kewangan anda bagi memastikan matlamat kewangan yang BOLEH DICAPAI.

Mulakan Latihan Mengukuhkan Kewangan Anda

Seperti latihan litar di gim, anda perlu melalui beberapa siri latihan untuk memastikan anda mencapai kedudukan kewangan yang lengkap. Ini bermakna, anda bukan sahaja perlu mengetahui kedudukan kewangan anda, malah mengetahui bagaimana untuk mengawal kewangan anda.

Menurut Thomas J. Stanley dan William D. Danko dalam buku mereka bertajuk The Millionaire Next Door, kebanyakan jutawan berpendapat bahawa tidak kira berapa pendapatan anda, apa yang lebih penting ialah kekayaan anda. Para jutawan percaya bahawa mereka perlu “mengumpul duit, menyimpan duit dan mengembangkan duit tersebut”, bukan hanya “mengumpul duit dan membelanjakannya”. Mereka percaya bahawa cara untuk menjadi kaya adalah dengan mengurangkan penggunaan/ perbelanjaan dan mendapatkan nilai yang paling tinggi daripada semua pembelian mereka. Maka, untuk menambahkan kekayaan, anda juga perlu mengawal perbelanjaan anda.

Sebagai tambahan, anda perlu komited kepada pelan anda untuk melengkapkan mana-mana rejim latihan, dan ini memerlukan ketabahan dan ketekunan. Anda juga perlu mendapatkan sokongan daripada seluruh ahli keluarga kerana kebanyakan perancangan gagal jika ahli-ahli keluarga tidak memahaminya. Ia menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan mereka sedar akan komitmen dan sasaran anda dalam mencapai matlamat kewangan tersebut. Dengan itu, pastikan matlamat kewangan dan sokongan orang lain terhadap anda adalah REALISTIK.

Lakukannya Sekarang!

Matlamat kewangan anda harus ADA TEMPOH MASA. Anda perlu tahu secara tepat bila anda ingin mencapai matlamat tersebut. Dengan adanya satu tarikh akhir mengenai bila anda ingin mencapai matlamat terbabit, ia akan memberi sasaran yang jelas untuk dicapai dan anda dapat mengetahui samada anda di landasan yang betul untuk mencapai matlamat itu. Tanpa satu tempoh masa, anda tidak akan merasa kepentingan untuk mula mengambil tindakan tanpa berlengah-lengah lagi.

Jadi apa yang anda tunggu lagi? Tetapkan satu matlamat kewangan yang S.M.A.R.T. hari ini dan mulakan perjalanan anda ke arah kedudukan kewangan yang kukuh!