| Terbitan
hak ialah terbitan baru saham biasa kepada pemegang
saham yang sedia ada yang perlu membayar pada harga
terbitan lebih rendah daripada harga pasaran biasa dan
pada nisbah yang sama dengan saham mereka yang sedia
ada. Misalnya, jika nisbah terbitan hak ialah 1:2, dan
jika anda pemegang saham yang sedia ada, anda berhak
membeli satu saham bagi setiap dua saham yang anda ada.
Jika anda menerima tawaran itu dan membeli saham baru
tersebut, bermakna anda telah melaksanakan hak anda.
Syarikat menerbitkan terbitan hak apabila ingin mendapatkan
dana tambahan untuk membiayai keperluan modal mereka.
Terbitan
hak diterbitkan kepada pemegang saham sama seperti cara
dividen dibayar. Untuk mendapat hak, anda perlu dicatat
sebagai pemegang saham syarikat pada tarikh tutup buku
rekodnya. Ketika menawarkan terbitan hak, syarikat akan
mengedarkan surat penguntukan sementara (provisional
allotment letter - PAL) kepada semua pemegang saham
sedia ada untuk memberitahu mereka mengenai hak terhadap
terbitan hak. Pemegang saham dikehendaki mematuhi semua
arahan yang terdapat dalam PAL untuk melanggan saham
baru. Jika anda memilih untuk tidak melaksanakan hak
anda, ingatlah bahawa PAL boleh dijual di pasaran terbuka
(jika disebut harga) atau hak boleh diserahkan kepada
orang lain.
Lazimnya,
anda dapat melihat saham kategori 'A' disenaraikan dalam
akhbar dan majalah pelaburan. Penyenaraian saham 'A'
merujuk kepada terbitan saham yang tidak layak menerima
hak seperti dividen, bonus dan terbitan hak. Saham ini
kemudiannya akan bergabung dengan saham yang sedia ada
selepas tarikh hak.
|