Bon
Pelajari Asasnya
Bon merupakan produk pelaburan yang kurang dikenali kerana dibayangi oleh stok dan saham yang lebih terkenal, serta unit amanah yang sedang meningkat naik. Walau bagaimanapun, bon memainkan peranan penting dalam membiayai pembangunan negara. Ia memberi satu ruang alternatif kepada syarikat untuk menjana modal. Pasaran bon yang matang memainkan peranan penting dalam menstabilkan sistem kewangan sesebuah negara

secara keseluruhannya. Dalam kebanyakan negara membangun, pasaran pemodalan bagi pasaran bon adalah lebih besar daripada pasaran saham.

Bon sesuai untuk meningkatkan modal bagi pembiayaan projek pembangunan jangka panjang, dan digunakan untuk membantu memulihkan Malaysia daripada krisis kewangan Asia. Sejak kebelakangan ini, banyak usaha telah dipelopori oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk mempercepatkan pembangunan pasaran bon dan menggalakkan penggunaan bon sebagai pilihan aset kepada pelabur, juga sebagai pilihan pembiayaan bagi peminjam modal.

Undang-undang sekuriti telah dipinda untuk memudahkan pembangunan pasaran bon yang semakin berkembang secara berperingkat-peringkat. Sepanjang 10 tahun, pasaran bon telah berkembang luas dari segi aktiviti dagangan dalam pasaran sekunder dan kecairan pasaran.

Tetapi, apakah sebenarnya bon? Kami memperkenalkan bon dengan mengemukakan beberapa soalan yang sering ditanya.