Satu-satunya sebab anda melabur dalam pasaran saham adalah kerana ingin mendapat pulangan yang lumayan. Walau bagaimanapun, jika anda perhatikan lebih daripada 1,000 kaunter yang terdapat di Bursa Malaysia, tugas memilih kaunter yang sesuai bukanlan mudah. Anda mungkin sudah mendapatkan nasihat mengenai cara-cara melabur dan memilih saham dengan bijak, tetapi perlu diingat bahawa walau apa pun nasihat yang diperolehi, nasihat-nasihat tersebut tidak boleh menjamin pulangan. Apa yang boleh disenaraikan di sini hanyalah beberapa ciri-ciri penting yang perlu diberi perhatian dalam memilih saham syarikat yang berpotensi. Maka, anda perlu melengkapkan diri dengan maklumat-maklumat kewangan yang relevan sebelum menganalisa asas syarikat-syarikat tersebut.
Memahami Perniagaan Sesebuah Syarikat
Salah satu faktor yang mempengaruhi kejayaan sesuatu pelaburan ialah keupayaan untuk memahami perniagaan syarikat itu. Oleh itu, sebelum melihat aspek pengiraan dan sebagainya, cuba anda lihat dan perhatikan produk-produk dan perkhidmatan yang anda gunakan setiap hari atau yang anda lihat dalam surat khabar atau mana-mana sumber maklumat yang lain. Syarikat manakah yang mengeluarkan produk atau perkhidmatan yang paling anda suka? Apakah produk-produk yang memudahkan kehidupan orang ramai dan mempunyai nilai tambah berbanding produk yang lain? Syarikat-syarikat yang menjadi jawapan kepada persoalan di atas mempunyai peluang cerah untuk berjaya. Jika orang lain masih belum perasan mengenai syarikat tersebut, maka anda mempunyai peluang yang tinggi untuk mengaut keuntungan apabila membeli sahamnya. Pastinya anda membuat kajian-kajian lain sebelum melabur dalam syarikat tersebut. Mesej utama di sini ialah anda perlu sentiasa mencari syarikat atau industri yang anda biasa dengannya ataupun mudah untuk difahami. Jika sukar bagi anda menerangkan perniagaan syarikat itu, maka elakkanlah melabur dalam syarikat terbabit.
Menganalisa Sesebuah Syarikat
Sekiranya anda mampu memahami apa yang telah diperkatakan tadi, anda kini sudah bersedia untuk beralih kepada perkara yang dipanggil analisis fundamental. Terdapat beberapa petunjuk dalam kewangan sesebuah syarikat yang mampu memberikan kita gambaran tentang prestasi syarikat tersebut.
Nisbah Harga Perolehan
Sebagai permulaan, maklumat yang perlu diperhatikan ialah nisbah harga perolehan sesebuah syarikat. Syarikat yang mempunyai nisbah harga perolehan yang lebih rendah berbanding dengan pasaran keseluruhan ataupun purata industrinya menggambarkan bahawa saham syarikat tersebut masih terkurang nilai. Oleh itu, sekiranya purata industri ialah pada tahap 15x nisbah harga perolehan, anda bolehlah mengabaikan syarikat-syarikat di mana nisbah harga perolehan mereka melebihi 15. Ini kerana harga saham syarikat-syarikat tersebut sudahpun berada pada tahap yang sama ataupun lebih tinggi daripada nilai pasaran dan boleh dikatakan mahal. |