bka_inflasi
Melaburlah Dalam Syarikat Yang Anda Arif

Berapa ramai antara kita akan menganalisis sesuatu syarikat itu dengan teliti sebelum membeli sahamnya? Malah, ada pelabur yang mungkin hanya tahu nama syarikat yang mereka membuat pelaburan dan tidak lebih daripada itu. Untuk menjadi pelabur yang serius, amat penting bagi anda mengetahui sebanyak mungkin mengenai syarikat yang anda berhajat untuk membuat pelaburan.

Apa yang perlu diperhatikan?

Berikut adalah beberapa soalan yang perlu terjawab sebelum anda melabur dalam mana-mana syarikat:

  • Apa yang dilakukan oleh syarikat tersebut?
    Panduan: Apakah perniagaan syarikat itu? Umpamanya, syarikat itu mungkin terbabit dalam perladangan, pembinaan atau produk pengguna. Adakah anda memahami perniagaan itu, dan adakah ia berdaya maju dan berdaya kekal? Lebih mendalam pemahaman anda tentang perniagaan syarikat itu, lebih baik lagi pemantauan anda terhadap pelaburan anda.
  • Daripada mana datangnya keuntungan syarikat?
    Panduan: Kebanyakan syarikat membuat keuntungan daripada perniagaannya. Tetapi, ada syarikat yang membuta keuntungan dengan cara lain. Sebagai contoh, sebuah syarikat mengumumkan keuntungan kerana ia telah melupuskan/menjual asetnya. Dalam hal ini, keuntungan itu mungkin tidak berdaya kekal jika tidak diperoleh daripada perniagaan teras syarikat tersebut. Baca dengan teliti penyata perakaunan syarikat bagi menentukan sumber keuntungannya dan pada masa yang sama, sentiasa periksa tahap hutang syarikat.
  • Apakah pelan masa depan syarikat?
    Panduan: Kaji pelan perniagaan syarikat dan periksa sama ada ia merancang untuk mempelbagaikan perniagaannya bagi meningkatkan nilai pemegang saham. Misalannya, sebuah syarikat perladangan merancang untuk meningkat keuntungannya dengan memperoleh lebih banyak tanah ladang. Jika syarikat itu memutuskan untuk melaksanakan sebarang langkah korporat, anda perlu menilai sama ada langkah itu akan meningkatkan keuntungan dan memperbaiki daya saing syarikat.
  • Adakah syarikat menunaikan janjinya?
    Panduan: Sesebuah syarikat awam tersenarai perlu menyatakan pelan perniagaan dan unjuran pertumbuhannya, termasuk unjuran keuntungannya. Anda perlu memastikan sama ada syarikat itu memenuhi unjuran sebagaimana yang dijanjikan. Sekiranya syarikat tidak melaksanakan janjinya, anda boleh memastikan punca prestasi lemah syarikat itu dengan memeriksa prospektus dan laporan tahunannya.
  • Adakah syarikat itu diuruskan oleh mereka yang layak?
    Panduan: Sesebuah syarikat yang diurus oleh pengurus-pengurus yang mempunyai kelayakan yang betul, rekod prestasi yang baik dan berpengalaman, boleh memberikan hasil yang positif.
  • Apakah jenis risiko yang akan dihadapi oleh syarikat?
    Panduan: Tiada perniagaan tanpa risiko, dan risiko datang dalam banyak bentuk. Syarikat penerbangan menghadapi risiko kenaikan harga minyak penerbangan. Lebihan dalam pasaran harta boleh menimbulkan risiko yang serius kepada perniagaan syarikat pembinaan. Oleh itu, penting mengetahui risiko yang dihadapi oleh sesuatu syarikat, dan perancangan untuk menguruskannya.
  • Adakah saham syarikat itu terlebih atau terkurang nilai?
    Panduan: Saham terlebih nilai adalah apabila anda membayar lebih daripada nilai sebenar saham tersebut manakala saham terkurang nilai pula adalah sebaliknya. Biasanya, pelabur bijak akan membeli saham terkurang nilai yang berpotensi memberikan pulangan yang baik dan berdaya kekal.
  • Adakah saham-saham itu didagangkan secara aktif? Adakah terdapat pergerakan harga yang terlalu kerap dan luar biasa?
    Panduan: Adakah syarikat memberikan penjelasan mengenai pergerakan seumpama itu? Saham yang didagangkan secara aktif tidak semestinya menunjukkan bahawa asas syarikat itu baik. Pelabur mungkin terdorong untuk membuat spekulasi ke atas saham syarikat itu berdasarkan pergerakan naik harga secara tiba-tiba. Bagaimanapun, membeli saham semata-mata kerana percaya bahawa harganya akan naik merupakan satu tindakan yang sememangnya sangat berisiko.

Selain soalan-soalan yang disenaraikan di atas, masih banyak lagi soalan yang boleh dikemukakan. Pelabur yang bersedia untuk mengemukakan banyak soalan pastinya boleh membuat keputusan pelaburan yang bijak.