Setiap kali kita memohon pinjaman atau kad kredit daripada bank, maklumat peribadi kita akan didedahkan kepada pihak bank. Maklumat-maklumat itu termasuklah nama, alamat, nombor telefon, maklumat pekerjaan, nombor kad pengenalan, umur, status perkahwinan dan pelbagai lagi.
Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai sistem yang menyimpan kesemua data kredit yang dibekalkan kepada institusi-institusi kewangan di Malaysia yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS). Data ini merangkumi maklumat pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi, kad kredit, maklumat pinjaman yang dibuat bersama rakan-rakan atau keluarga. Sistem ini juga menyimpan maklumat permohonan pinjaman terbaru anda. Dalam kata lain, sesebuah bank itu telah sedia maklum akan permohonan pinjaman atau kad kredit anda di bank-bank lain sebelum berkunjung ke bank mereka.
Setiap bank mempunyai cara tersendiri untuk menilai skor kredit anda. Maklumat peribadi serta latar belakang pinjaman dan pembayaran anda membolehkan bank membuat keputusan yang sewajarnya berkenaan permohonan pinjaman anda. Malah, ini membolehkan mereka menarik balik sebarang kemudahan pinjaman yang telah diberikan kepada anda.
Bagaimana Memperbaiki Skor Kredit Anda?
Tip # 1: Dapatkan pekerjaan dan miliki sebuah rumah
Perkara pertama yang akan dilihat oleh pegawai bank ialah skor kredit anda - adakah anda memiliki pekerjaan yang stabil, boleh menjana pendapatan yang berterusan dan apakah jawatan pekerjaan anda sekarang? Maklumat-maklumat ini penting untuk memberikan petunjuk samada anda mampu menyara perbelanjaan harian serta membayar hutang sedia ada dan hutang yang bakal dipikul kelak. Satu lagi faktor yang memberi kesan kepada skor kredit anda ialah samada anda memiliki rumah anda sendiri. Jika ya, ia mencerminkan kestabilan dan mutu kehidupan yang lebih baik.
Tip # 2: Kurangkan kad kredit dan buat pembayaran penuh
Disebabkan kos kehidupan yang semakin meningkat dan suasana perniagaan yang lebih kompetitif, ramai yang menghadapi masalah menjelaskan hutang mereka. Perbelanjaan melampau dan kesukaran membendung perbelanjaan menggalakkan lebih ramai antara kita untuk memiliki lebih daripada satu kad kredit tanpa memiliki keupayaan untuk menjelaskan hutang kad kredit masing-masing.
Jika anda ingin memiliki skor kredit yang lebih baik, pastikan anda menjelaskan sepenuhnya hutang kad kredit anda dalam masa yang ditetapkan dan elakkan daripada memiliki terlalu banyak kad kredit. Ada di antara kita yang menggunakan satu kad kredit untuk menjelaskan hutang kad kredit yang lain. Ini bukanlah tindakan yang baik kerana ia akan menggandakan jumlah hutang keseluruhan anda. Tindakan terbaik ialah untuk mengehadkan perbelanjaan anda.
Tip # 3: Bayar bil anda pada masanya
Bank sentiasa peka terhadap rekod pembayaran hutang anda. Sekiranya anda gemar melewatkan pembayaran hutang, ini akan menyukarkan anda untuk memohon pinjaman daripada bank-bank lain di Malaysia kelak. Dengan menggunakan CCRIS, bank yang anda kunjungi untuk memohon pinjaman terbaru anda boleh mendapatkan maklumat pembayaran hutang anda dengan bank–bank lain.
Oleh itu, pastikan anda menjelaskan bil-bil anda tepat pada masanya demi menjaga rekod kewangan yang baik. Memiliki rekod yang kurang baik akan memberikan imej peminjam yang negatif yang berkekalan. Bank-bank gemar mengajukan soalan tentang pembayaran hutang apabila anda membuat permohonan pinjaman, lebih-lebih lagi apabila mereka tahu yang anda memiliki rekod pembayaran hutang yang kurang baik. |