| Biasanya dalam interaksi antara ejen unit amanah dan pelabur, hanya ejen yang banyak bercakap manakala pelabur lebih banyak mendengar. Tidak banyak soalan yang relevan ditanyakan oleh pelabur kecuali soalan lazim – “berapa banyak dividen akan diberikan oleh unit amanah ini?” atau “apakah jumlah minimum untuk memulakan pelaburan?”. Tetapi, untuk memperoleh manfaat sepenuhnya daripada pelaburan unit amanah, anda mestilah bersedia untuk bertanya banyak soalan. Jawapan yang anda peroleh daripada ejen ini boleh membantu anda menentukan sama ada melabur dalam unit amanah yang ditawarkan itu bersesuaian dengan matlamat dan objektif pelaburan anda. Ini juga dapat mengelakkan anda daripada melabur dalam produk unit amanah yang tidak bersesuaian tetapi dipromosikan berlebih-lebihan oleh ejen kerana dia mendapat komisen yang tinggi daripada penjualannya. Disenaraikan di sini beberapa soalan cadangan (senarai ini tidak terbatas, ada banyak lagi soalan lain yang boleh ditanyakan) yang anda patut tanyakan kepada ejen anda.
1. Adakah dana unit amanah ini berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti?
Panduan: Semua produk unit amanah mestilah didaftarkan dengan SC. Untuk memastikan produk pelaburan itu didaftarkan dengan SC, hubungi 03-6204 8000 dan minta untuk disambungkan kepada Jabatan Tabung Amanah dan Pengurusan Pelaburan.
2. Berapa lama syarikat unit amanah itu telah beroperasi? Apakah rekod atau prestasi syarikat itu dalam memberikan pulangan yang dijanjikan?
Panduan: Penting bagi pelabur untuk memeriksa latar belakang sesuatu syarikat unit amanah, termasuk syarikat yang akan menguruskan dana tersebut (jika dana itu diuruskan oleh pengurus dana luar). Cari maklumat mengenai rekod prestasi dan pengalaman mereka. Anda mesti berusaha untuk mengenali mereka yang diamanahkan untuk mengendalikan wang hasil titik peluh anda.
3. Adakah dana itu bersesuaian dengan matlamat pelaburan dan profil risiko saya?
Panduan: Sebelum anda bertanyakan soalan ini, anda mesti mengetahui dan yakin mengenai matlamat dan objektif pelaburan anda (sila baca artikel mengenai matlamat dan objektif pelaburan di tapak web Pelabur Malaysia) dan berapa banyak risiko pelaburan yang anda mampu tanggung (risiko pelaburan pada umumnya ialah keadaan yang mungkin berlaku dan menyebabkan anda menanggung kerugian). Sekarang ini, ada banyak jenis dana di pasaran, setiap satu dengan manfaat dan risiko tersendiri (lebih tinggi pulangan yang dijanjikan, lebih tinggi risiko yang anda terpaksa ambil). Oleh itu, penting bagi anda memahami dana yang ditawarkan dan memilih dana yang benar-benar bersesuaian dengan matlamat pelaburan dan kesanggupan anda menghadapi risiko. Misalnya, jika anda mahu pendapat yang konsisten, anda perlu melabur dalam dana yang menyediakan pulangan konsisten. Anda tidak seharusnya membiarkan diri dipaksa oleh mana-mana ejen untuk melabur dalam dana yang tidak bersesuaian dengan anda.
4. Apa yang berlaku kepada wang yang saya laburkan dalam dana berkenaan? Di manakah wang itu akan dilaburkan?
Panduan: Setiap dana unit amanah mempunyai strategi pelaburannya sendiri. Contohnya, bagi dana ekuiti, pada umumnya kebanyakan daripada aset dana itu dilaburkan dalam pasaran saham. Sebaliknya, dana bon akan melaburkan kebanyakan dananya dalam produk bon. Amat penting bagi pelabur mengetahui dalam produk pelaburan yang manakah dana itu akan melabur, kerana ini mempunyai implikasi terus ke atas toleransi risiko pelabur. Jika dana itu melabur dalam produk pelaburan berisiko tinggi, dana unit amanah itu sendiri akan menjadi pelaburan berisiko tinggi. (Sila lihat juga panduan dalam Soalan 3!).
5. Bagaimana hendak mengetahui bahawa dana yang saya laburkan itu berkeadaan baik? Bagaimana hendak membandingkannya dengan dana yang lain?
Panduan: Setiap dana mempunyai ukur rujuknya sendiri (sesuatu yang anda boleh jadikan ukuran prestasinya), yang dinyatakan dalam prospektus. Anda boleh membandingkan kadar pulangan dana anda dengan ukur rujuk tersebut. Ukur rujuk yang biasa bagi dana ialah Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) manakala bagi dana bon, biasanya ialah pada kadar purata 12-bulan deposit tetap bank-bank.
Selain itu, anda boleh membandingkan dana anda dengan dana lain yang mempunyai kriteria yang sama. Contohnya, jika anda melabur dalam dana bon, bandingkan prestasinya dengan dana bon yang lain.
6. Bagaimana saya boleh membuat keuntungan daripada dana ini? (Untung modal? Dividen?)
Panduan: Jika anda melabur dalam unit amanah, pulangan anda mungkin dalam bentuk keuntungan modal (jika gerakan pasaran memuaskan) atau dividen (jika syarikat pengurusan mengumumkan ada bayaran dividen).
7. Adakah saya perlu membayar sebarang bayaran atau caj?
Panduan: Setiap pelaburan mempunyai kos dan melabur dalam dana unit amanah tiada bezanya. Syarikat pengurusan unit amanah mungkin mengenakan bayaran, seperti caj jualan, bayaran pengurusan, bayaran pemegang amanah dan caj-caj lain yang berkaitan. Ejen anda mesti menjelaskan semua ini kepada anda.
8. Jika saya mengubah fikiran selepas melabur dalam sesuatu dana, bolehkah saya menjualkannya semula kepada syarikat itu dan mendapat bayaran balik sepenuhnya ?
Panduan: Pelabur diberikan “tempoh bertenang” yang merupakan masa yang diberikan kepada pelabur untuk memikirkan semula sama ada mereka mahu meneruskan pelaburan dalam dana unit amanah itu atau tidak. Tertakluk kepada syarat, pelabur unit amanah berhak mendapat bayaran balik sepenuhnya jika dia memutuskan untuk tidak meneruskan pelaburan dalam dana tersebut dalam masa “tempoh bertenang”. “Tempoh bertenang” adalah hak anda !
Pautan membantu : Tempoh bertenang
9. Jika saya mahukan wang saya semula dengan segera, berapa mudah boleh saya menjualkan dana tersebut? Berapa lama saya mesti menunggu sebelum saya boleh mendapat wang saya semula?
Panduan : Penting bagi anda mengetahui bila anda akan mendapat semula wang anda supaya anda lebih bersedia sekiranya anda memerlukan wang itu segera. Tanyakan ejen anda.
10. Adakah saya akan mendapat apa-apa kenyataan berkaitan dengan status pelaburan saya daripada syarikat pengurusan?
Panduan: Proses pemantauan anda akan menjadi lebih mudah jika anda menerima penyata daripada syarikat pengurusan berkaitan status pelaburan anda. Dapatkan penjelasan berapa kerap anda akan mendapat penyata tersebut. Anda mesti memantau pelaburan anda.
11. Di mana saya boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai dana tersebut?
Panduan: Kebanyakan maklumat mengenai sesuatu dana unit amanah terdapat dalam prospektus dan laporan tahunannya. Mintalah prospektus itu daripada ejen anda dan bacalah sebelum melabur.
|