 |
Satu
cara yang selalu disebut ketika bercakap mengenai bagaimana
mengelakkan daripada menghadapi banyak risiko dalam
pelaburan ialah pempelbagaian.
Pempelbagaian
bermakna "mengembangkan pelaburan kepada beberapa
cabang", iaitu tidak meletakkan wang dalam satu
pelaburan sahaja, sebaliknya menyertai beberapa pelaburan. |
Samalah
seperti tidak meletakkan semua telur dalam satu bakul, kerana
jika bakul terhempas jatuh, kemungkinan semua telur akan pecah.
Begitu juga, jika anda melaburkan semua wang dalam saham satu
syarikat, jika nilai saham itu menjunam jatuh, anda mungkin
kehilangan wang yang dilaburkan. Sesuatu
portfolio pelaburan yang dipelbagaikan mempunyai beberapa
cabang pelaburan. Setiap cabang boleh pula disamakan dengan
satu kumpulan aset (seperti saham atau bon atau niaga hadapan).
Langkah selanjutnya ialah mempelbagaikan pelaburan dalam sesuatu
kumpulan aset tersebut. Misalnya jika membeli saham belilah
daripada berbagai-bagai sektor; atau jika membeli unit amanah,
belilah lebih daripada satu jenis (umpamanya dana pendapatan,
dana pertumbuhan, dana bon dan lain-lain).
Strategi
yang baik ialah menggabungkan pelaburan yang berisiko tinggi
dengan yang berisiko rendah dan meletakkan pelaburan itu dalam
setiap cabang pelaburan dan kumpulan aset. Mengapa buat demikian?
Supaya anda mempunyai peluang lebih baik untuk berjaya dalam
sesuatu kelas aset dan di kalangan kumpulan sesuatu aset.
Bayangkan bagaimana jika semua wang simpanan anda terikat
dalam pasaran saham sedangkan anda dalam keadaan terdesak
dan memerlukan wang tunai dengan cepat. Sudah tentu anda menghadapi
masalah mudahtunai sekiranya pada waktu itu pasaran saham
pula terus menjunam. Keadaan ini terjadi akibat tidak mempelbagaikan
pelaburan dalam sesuatu kumpulan aset. Atau anda mungkin meletakkan
semua wang dalam saham hartanah, kemudian mendapati perniagaan
hartanah menjunam jatuh sedangkan saham sektor lain pula melonjak
naik. Ini ialah contoh tidak mempelbagaikan pelaburan dalam
sesuatu kelas aset.
Tetapi,
melalui pempelbagaian, jika satu daripada aset anda menjunam
teruk, anda mempunyai banyak pilihan lain sebagai sandaran.
Jika anda membuat mempelbagaikan pelaburan secara bijak, kerugian
yang ditanggung dalam sesuatu pelaburan boleh ditampung oleh
keuntungan daripada pelaburan lain yang berprestasi baik.
Risiko pelaburan anda juga dapat dikurangkan manakala kadar
purata pulangan dapat dimaksimumkan.
Bagaimanapun,
elakkan daripada mempelbagaikan pelaburan secara keterlaluan.
Memang betul tidak wajar jika anda melaburkan semua wang dalam
satu tempat, tetapi melaburkannya dalam terlalu banyak instrumen
kewangan juga tidak bijak kerana sukar untuk mengawasi semua
pelaburan serentak. Lagipun, kalau mempelbagaikan pelaburan
secara berlebihan, pelaburan anda akan membuat imbangan balas
antara satu sama lain (mungkin pelaburan yang mengalami kerugian
lebih banyak berbanding pelaburan yang untung dan keuntungan
itu terpaksa digunakan untuk menutup kerugian) hingga menyebabkan
akhirnya anda tidak mendapat apa-apa daripada pulangan pelaburan
anda. |