Bagaimana untuk meraih keuntungan melalui pelaburan di pasaran saham Malaysia?
CFA Malaysia (oleh Teoh Kok Lin, CFA, Pengasas dan Pengarah Urusan Singular Asset Management)
“Anda tidak boleh mengaut keuntungan dengan melabur dalam pasaran saham Malaysia!”– Beginilah persepsi kebanyakan warga Malaysia. Ramai yang percaya bahawa pasaran saham Malaysia adalah spekulatif dan hanya sesuai untuk pembuat spekulasi; jika hendak mengaut untung daripada pasaran saham, anda mesti membuat spekulasi, mengguna pakai strategi “bertindak, kaut untung dan lari”.
Bagaimana persepsi sebegini boleh timbul? Sebenarnya, sesetengah pelabur di Malaysia, seperti pelabur di kebanyakan negara lain, secara umumnya gemar membuat spekulasi. Mengimbau kembali ketika kemuncak kenaikan harga saham Internet pada tahun 2000, terdapat ribuan pedagang harian sepenuh masa di dagangan AS (atau lebih tepat – membuat spekulasi) dalam saham NASDAQ. Tidak menghairankan apabila kebanyakan pedagang harian ini akhirnya bersedih menghadapi akaun bank yang kosong. Adakah ini menjadikan pasaran saham AS semakin kurang diminati bagi pelaburan? Sudah tentu tidak!
Spekulasi. Menjadi lumrah pelabur menggemari saham yang menjanjikan pulangan pelaburan yang besar dan mengharapkan keuntungan itu diperolehi dalam jangka masa yang singkat. Sikap berat sebelah ini telah mempengaruhi pemikiran sesetengah pelabur Malaysia (dan juga bukan pelabur) untuk membentuk persepsi bahawa pasaran saham Malaysia adalah spekulatif, berisiko dan hanya untuk pembuat spekulasi.
Beberapa spekulasi oleh sekumpulan minoriti sudah tentu tidak bermakna seorang tidak boleh mengaut keuntungan dengan melabur dalam saham di Malaysia. Yang dimaksudkan dengan melabur ialah pelabur hendaklah membuat keputusan mereka untuk membeli atau menjual saham berpandukan asas dan penilaian saham-saham tersebut.
Satu contoh yang baik ialah Warren Buffet, orang kedua terkaya (dan pelabur terhebat!) di dunia dengan kekayaan persendirian dianggarkan berjumlah AS$36 bilion yang telah dikumpul daripada pelaburan berpandukan “nilai” berdasarkan kebolehan beliau untuk menilai asas-asas dan penilaian saham-saham.
Pelaburan ekuiti mengikut sejarah dan secara global merupakan kelas aset terbaik untuk pelaburan, perkara yang sama juga diguna pakai untuk melabur di Malaysia; lihat sekeliling dan anda akan dapati bahawa kebanyakan pelabur yang mengaut pulangan pelaburan yang terbaik sepanjang lima hingga sepuluh tahun lalu, melabur dalam saham seperti IOI Corporation, Public Bank, Digi, Maybank, UMW, dan lain-lain. Pelaburan sebanyak RM1,000 dalam IOI Corporation pada tahun 1990 kini bernilai kira-kira RM25,024, satu pulangan pelaburan dengan lebihan sebanyak 22% setahun!
Anda mungkin berkata bahawa seseorang akan hanya mengaut keuntungan daripada syarikat “saham mewah” yang bermodal pasaran besar, dan terlalu sedikit syarikat seperti ini yang tersenarai di Bursa Malaysia. Hakikatnya, kekurangan saham syarikat bermodal pasaran besar merupakan salah satu rungutan utama pengurus dana asing. Pelabur asing ini, disebabkan saiz dana mereka yang besar, secara umumnya lebih gemar untuk melabur dalam syarikat bermodal besar yang biasanya didagangkan secara aktif di pasaran saham.
Bagaimanapun, terdapat lebih banyak pilihan bagi pelabur individu yang kurang menghadkan pelaburan kepada saiz syarikat. Malah, penyelidikan kami menunjukkan bahawa banyak syarikat bersaiz lebih kecil menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik. Mereka yang telah melabur awal dalam syarikat yang lebih kecil seperti Lion Diversified Industries, Top Glove, Pos Holdings dan Kossan Rubber sudah tentunya amat gembira dengan keuntungan besar yang mereka peroleh (pulangan terkumpul tiga tahun adalah antara 230% sehingga 478%!).
Sepanjang beberapa bulan yang lalu, kami telah bertemu dengan sebilangan pelabur yang telah berjaya menggandakan kekayaan mereka melalui pelaburan dalam pasaran saham Malaysia. Ada tiga persamaan penting yang dikongsi pelabur-pelabur tersebut. Pertama, pelabur-pelabur ini telah bertahun-tahun melabur dalam pasaran saham; mereka pernah melalui masa yang tidak begitu baik tetapi dengan peredaran masa, mereka telah secara umumnya berjaya melabur dalam saham dengan baik. Kedua, mereka melabur berpandukan asas dan mengelak spekulasi. Ketiga, sesetengah daripada mereka berkata bahawa sebenarnya tidak begitu susah untuk mencari saham pelaburan yang baik sekiranya anda sedia untuk berbuat demikian. Malah, anda mungkin menemui saham pelaburan yang baik di kalangan syarikat MESDAQ.
Syarikat MESDAQ seperti Green Packet dan Jobstreet, misalnya, telah berjaya menarik minat pengurus dana asing yang serius. Fidelity Investment, salah satu syarikat pengurusan dana terbesar yang berpangkalan di AS, memiliki kira-kira 4.9% saham-saham Green Packet. Armor Capital Management memiliki kira-kira 5.9% saham-saham Jobstreet. Harga saham Green Packet dan Jobstreet masing-masing naik sekitar 600% dan 270% sepanjang dua tahun yang lalu.
Terdapat juga persepsi bahawa hanya sedikit syarikat MESDAQ yang berjaya dan kebanyakannya tidak berprestasi dengan baik dari segi keputusan kewangan dan harga saham. Pelabur perlu faham bahawa MESDAQ diwujudkan bagi syarikat yang lebih kecil supaya mereka dapat menjana dana untuk mengembangkan perniagaan mereka dan syarikat-syarikat ini secara umumnya tidak mempunyai rekod prestasi perniagaan jangka panjang dalam persekitaran teknologi yang berubah-ubah dengan pantas. Kerana itu, risiko perniagaan mereka adalah lebih tinggi. Kebanyakan syarikat tersebut adalah di peringkat pertumbuhan pantas – sama ada mereka berkeuntungan besar atau tidak. Pelabur dalam syarikat ini harus sedar bahawa risikonya adalah lebih tinggi kerana mereka menjangkakan pulangan yang besar.
Kesimpulannya, adalah penting untuk membezakan antara membuat spekulasi dan melabur. Ramai pelabur telah meraih keuntungan melalui pelaburan dalam saham di Malaysia. Banyak saham di Malaysia telah menunjukkan prestasi yang sangat baik. Yang mana satukah saham itu? Apa yang menyebabkan saham-saham ini berjaya? Apa yang kita boleh pelajari daripada kejayaan saham-saham ini?
Melalui siri rencana oleh CFA Malaysia sepanjang beberapa minggu akan datang, diharapkan pelabur seperti anda akan mendapati bahawa memang ada peluang pelaburan dalam pasaran modal Malaysia.
|